SRI AMAN: Seramai 1,438 penduduk di kawasan Parlimen P. 202 Sri Aman yang layak menerima Pakej Ransangan Ekonomi Covid-19 seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa 2 dan 3, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang menarik nafas lega apabila mereka boleh menunaikan baucar bantuan masing-masing bermula hari ini.

Proses pembayaran tersebut berlangsung bermula hari ini hingga esok dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.

Sementara itu bagi Daerah Kecil Lingga proses pembayaran kepada 119 penerima telah berlangsung kelmarin bertempat di pekarangan Pejabat Daerah Kecil Lingga dengan jumlah keseluruhan bernilai RM60,000.

Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd. Asree Wee yang ditemui ketika melakukan tinjauan lokasi di Stadium Tertutup Sri Aman menyatakan penerima yang hadir pada kali ini adalah dalam kalangan penerima bayaran untuk BSH Fasa 2 dan 3, manakala Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Sarawak Ku Sayang adalah merupakan bayaran pertama untuk Tahun 2020.

Pembayaran katanya untuk penerima yang berada di kawasan pedalaman yang mana mereka ini tidak mempunyai buku akaun atau tiada akaun bank.

Ketika tinjauan beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) para penerima terutama berkaitan penjarakan sosial dan penggunaan pelitup mulut dan hidung memandangkan ketika ini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP) Covid-19.

Sesi pembayaran kepada penerima kali ini juga telah diselaraskan kepada tiga sesi iaitu sesi pertama bermula jam 8.30 pagi sehingga 10 pagi dengan keutamaan kepada warga emas, OKU dan golongan yang berisiko.

Sesi kedua yang bermula 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari pula adalah untuk ketua isi rumah (KIR) manakala sesi ketiga sehingga jam 4.30 petang adalah dikhaskan untuk pemohon BKSS (Peniaga) dengan purata RM2,000 seorang.

Beliau turut menyatakan pihaknya selaku penganjur dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Kewangan, Perbendaharaan Negeri, Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman, RELA dan JaPen Sri Aman telah melakukan beberapa pembaharuan untuk mengelak kesesakan.

Antaranya adalah mengguna sistem pelekat dan nombor kepada penerima terlibat.

“Selaku penganjur utama program Pejabat Daerah Sri Aman juga telah membuka kaunter saringan kesihatan dan mengambil data perjalanan penerima dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Bahagian selain turut mengadakan outreach “community policing” dengan mengedarkan pamphlet berkaitan bahaya Covid-19”.

“Saya ingin menasihati rakyat supaya berhati-hati dengan scammer yang selalu mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan.

“Penerima disaran merujuk kepada sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali,”

Lawatan beliau turut diiringi oleh pegawai pegawai dari Pejabat Daerah Sri Aman dan Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Jessica Gilbert Bunsu.