SERIAN: Satu pasangan warga tempatan ditangkap polis setelah dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Koran Mawang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek berjaya diberkas hasil serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Serian di lokasi sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya, kediaman suspek masing-masing berusia lingkungan 29 tahun itu diserbu hasil maklumat risikan daripada pihaknya terhadap aktiviti salah laku dadah di kawasan sekitar Serian.

“Pemeriksaan di bilik tidur kediaman suspek telah menjumpai satu beg berwarna cokelat di bawah katil.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg menemui satu kotak rokok mengandungi dua peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine seberat 10.91 gram,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, salah seorang suspek yang mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah itu disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetime menerusi ujian saringan awal air kencing.

Tambahnya, suspek turut mengaku kesemua dadah yang dirampas itu adalah untuk diedarkan kepada penagih-penagih di kawasan Serian.

Katanya, kesemua barangan kes (dadah) yang dirampas hasil serbuan bernilai RM1,200 mengikut harga pasaran.

Tegasnya, kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar masyarakat awam dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah bagi sama-sama membantu membanteras gejala tersebut daripada berleluasa.