KUALA LUMPUR: PAS mendukung sepenuhnya pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

Menurut beliau, tindakan PAS menyokong sepenuhnya pemilihan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri adalah sebagai tanda sokongan padu PAS terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya lagi, kerajaan kini di bawah kepimpinan Muhyiddin perlu diteruskan kerana pemerintahannya yang bercorak dinamik, sistematik dan sejagat mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Media Serbanika, kepemimpinan Muhyiddin perlu dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain.

Jelasnya, sokongan padu ini juga adalah untuk menyambung polisi kerajaan PN yang dilaksanakan dan ianya memberi impak yang sangat besar kepada negara, lagi-lagi ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19 ini.

“PAS mendukung sepenuhnya pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM (Perdana Menteri) pasca PRU15 ini adalah sebagai tanda sokongan padu PAS terhadap PN.

“Kesinambungan kepimpinan PN yang diterajui Muhyiddin dan menyambung polisi kerajaan PN yang telah dan sedang dilaksanakan sekarang,” katanya seperti dipetik HarakahDaily.

Terdahulu, Muafakat Nasional secara berprinsip berpendirian menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam berkata, tujuan PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin serta permuafakatan politik PN adalah demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, Muafakat Nasional menyatakan kesepakatan pendirian itu selepas PAS dan Umno mengadakan pertemuan baru-baru ini.