Semalam macam mengigau apabila YB Tan Sri Annuar Musa mengumumkan calon Perdana Menteri selepas PRU 15.

Katanya Muafakat Nasional telah bersetuju menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU 15.

Tiba-tiba pelbagai perasan timbul. Ada rasa nak ketawa.. Ada rasa naik sedih dan ada juga rasa nak terkencing bila membacanya..

Rupa-rupanya selama ini juga MN pun tidak ada calon yang layak bagi jawatan PM. Selama ini berkokok berdegar-degar kononnya UMNO dan PAS adalah dua parti hebat apatah lagi UMNO yang mendakwa sebagai Parti Dominan dalam MN atau pun PN. Baru sekarang semua rakyat tahu UMNO buat masa ini sudah tidak ada seorang calon pun dikalangan pemimpin UMNO yang berwibawa untuk dicalonkan sebagai PM selepas PRU 15.

Semuanya tidak layak.

Begitu juga PAS sehingga kini masih belum mendapat apa-apa hidayah dan petunjuk calon PM yang layak dikalangan mereka walaupun mendakwa kononnya Parti PAS adalah Parti Islam.

Rupa-rupanya Presiden PAS pun tidak layak. Hanya layak setakat jadi wakil PM ke Timur Tengah bertaraf menteri. Jadilah.

Sebelum ini kita semua maklum PH sukar menamakan calon PM. Setiap kali mesyuarat dan berbincang, calon PM berubah dari satu calon ke satu calon yang lain. Ada saja yang tidak kena. Penat membaca kenyataan demi kenyataan dari kumpulan PH dan siapa pula calon PM yang akan diumum selepas ini.

Harap jangan diumum orang yang sudah mati pula jadi calon PM sudahlah. Mungkin juga selepas ini YB Mat Sabu pula akan diumum sebagai calon PM dari PH.Layak atau tidak lain soal.

Nampaknya semua parti-parti yang mendakwa mereka hebat, rupa-rupa tidak ada calon yang layak bagi dicalonkan sebagai PM untuk PRU15.

Ada pun kaki retorik sahaja. Yang ada hanya calon dari Parti Bersatu yang dilihat sudah tidak bersatu. Calon dari Parti Bersatu yang bermasalah, berusia 3 tahun lebih tapi berkelahi macam perang Teluk.Selepas ini ada yang jadi abu dan ada yang jadi arang.

Kesian rakyat Malaysia termasuk mak cik kiah.
Semuanya sudah hilang kewibawaan. Rakyat pasti mengeluh dan berpeluh dgn drama-drama ini yang makin hari makin membosankan rakyat.

Setelah hilang nak ketawa, rasa sedih dan perut kembali normal maka saya ingin merayu kepada seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga Parti Putra yang lahir suci dari debu debu politik Malaysia mutakhir ini mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah SWT.

Insya Allah, PUTRA juga akan menamakan calon Perdana Menteri Malaysia apabila parlimen dibubar menjelang PRU 15 nanti. Setakat ini siapa bakal calon ibarat kata penyanyi tersohor Siti Nurhaliza ‘Biarlah rahsia’.

Beberapa nama sudah disenarai pendek. PUTRA akan pastikan calon PM PUTRA akan membawa Kesejahteraan kepada Rakyat dan Negara,kerana pasti calon berintegriti, berwibawa , berilmu, berpengalaman, berinovasi dan tidak hipokrit atau munafik.
Calon yg akan membawa berkat pada rakyat dan negara.

Tuah ayam nampak dikaki.. Tuah PUTRA hanya Allah yang tahu..

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA
3 Julai 2020.