KUCHING: Faktor umum yang menyebabkan PN mendapat sokongan daripada parti lain dibantu oleh prinsipnya yang enggan bekerjasama dengan DAP sebagai sebuah gabungan, kata Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Katanya, meskipun PN merupakan 112 gabungan parti politik yang longgar, namun semua ketua komponen bersetuju mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.

Kata Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri  dalam satu kenyataan, tidak seperti PH yang masih terganggu dengan isu memilih calon Perdana Menteri, ini ialah satu persefahaman yang baik dalam kalangan PN.

Pada Rabu, pemimpin parti politik terbabit telah mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu menzahirkan sokongan mereka terhadap kepemimpinannya.

Dalam catatan di laman Facebook Muhyiddin Yassin, ia turut memaklumkan kesemua pimpinan parti bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Menurut catatan itu, pimpinan yang hadir ialah presiden parti termasuk Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS); Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA) dan Tan Sri S. A Vigneswaran (MIC).

Selain itu, pertemuan tersebut turut disertai  Pengerusi GPS yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (SUPP); Datuk Seri Tiong King Sing (PDP); Tan Sri Dr James Jemut Masing (PRS); Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS); Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR).

Menurut catatan itu lagi, mesyuarat dua jam itu turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

Sebanyak 20 keping gambar pertemuan berkenaan turut disertakan dalam catatan itu.