BINTULU: Saya datang, minum-minum adalah cakap sikit-sikit tetapi saya ada memperkatakan kepada beliau.

Itu kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin bersama-sama dengan para pemimpin parti politik lain di Putrajaya kelmarin.

Beliau bagaimanapun mengakui ada menzahirkan sokongan GPS terhadap Muhyiddin.

Kami menginginkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil dari segi ekonomi selepas Covid-19, kata Abang Johari.

Katanya, beliau percaya, rakyat juga mahukan kerajaan yang stabil dan aman.

Saya ingin melihat kestabilan politik agar negara dan negeri kita maju dan mempunyai masa depan yang cerah, ujarnya.

Ketua Menteri secara bergurau berkata, apabila bos panggil dan ingin melihat mereka, mereka hanya pergi.

Soalan wartawan itu diajukan ketika pelbagai spekulasi dan tafsiran dibuat mengenai pertemuan berkenaan.

Pertemuan antara ketua parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) diadakan di Putrajaya, Rabu. 

Semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan bermuafakat memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Beberapa keping foto pertemuan itu dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Muhyiddin, hari ini,

Pemimpin yang hadir termasuk Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan  Pengerusi GPS Abang Johari.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.