KUCHING: Tiada kes baharu Covid-19  direkodkan di Sarawak untuk tempoh lima hari berturut-turut, hari ini menjadikan jumlah kes kekal 571 dengan 17 kematian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  berkata, terdapat satu kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari Hospital Umum Sarawak hari ini. 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj sebanyak 545 orang atau 95.45 peratus,” katanya dalam satu kenyataan. 

Jelasnya, sebanyak sembilan orang masih menerima rawatan di  wad  pengasingan hospital. 

“Sebanyak 22 orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan 2 kes masih menunggu ujian makmal,” katanya lagi. 

 JPBNS berkata, pada hari ini juga, seramai seramai 98 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 buah hotel adalah seramai 837 orang, dan 17,275 PUS  tamat menjalani tempoh kuarantin.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 buah hotel adalah seramai 892 orang. Manakala seramai 17,124 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin,” jelasnya.

Manakala sehingga kini juga Kuching, Bintulu dan Sibu masih lagi berstatus zon kuning sementara 37 lagi daerah berstatus zon hijau.

Bagi pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga hari ini sebanyak 1,869 premis  dipantau iaitu pasar raya (220), restoran (369), kilang (23), bank (145), Pejabat Kerajaan (74), penjaja (42), pasar tani/awam (92), tempat ibadah (99), tempat riadah (62), tapak pembinaan (39) dan lain-lain (704).

Selain itu, seramai 663 pasukan pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM (323), ATM (39), Rela (138), APM (93), PBT (51), KKM (6), KPDNHEP (4) dan Agensi lain (9).

Sementara itu, sekatan jalan raya OP Benteng pula hari ini, terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah bersempena iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1), dan 1,203 kenderaan telah diperiksa.