PADAWAN: Cubaan seorang lelaki mengedarkan sebanyak 120 kotak bir gagal apabila ditahan pasukan ronda cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata penahanan dibuat sekitar jam 11.30 pagi ketika suspek yang membawa kesemua minuman keras itu menggunakan sebuah lori melalui lampu isyarat Jalan Stakan, Kota Sentosa di sini.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 120 kotak atau 2,880 tin minum keras jenama Dester Premium Lager kerana disyaki tidak berjadual yang dianggarkan bernilai RM23,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah lelaki berusia 24 tahun yang ditangkap itu juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.