BINTULU: Tempoh siap pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak dilanjutkan  tiga bulan lagi dari tarikh asal.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi  berkata pelanjutan tempoh tersebut berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan(PKP) sebelum ini.

Menurutnya, jambatan bernilai RM467 juta itu  dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023 berbanding tarikh asal April tahun yang sama.

Pada masa ini, katanya, perkembangan projek pembinaan jambatan itu pada paras 3.94 peratus.

Projek pembinaan Jambatan Kuala Kemena – Jepak merupakan antara yang ditarik balik oleh kerajaan persekutuan namun diteruskan oleh kerajaan negeri.

Kontrak bernilai RM467 juta itu dianugerahkan kepada PPES Works-CCCC JV dengan komponen projek  merangkumi pembinaan jambatan empat lorong dua halan menyeberang Batang Kemena lengkap dengan jejambat ke persimpangan lalu lintas Jalan Tun Ahmad Zaidi-Jalan Tun Razak-Jalan Abang Galau.

Pembinaan jambatan itu merancakkan pertumbuhan sosioekonomi sepanjang kawasan itu dengan peningkatan perhubungan dan menyediakan akses yang mudah serta selamat dari bandar utama ke kawasan luar bandar di negeri ini.

Selain itu, ia akan memenuhi populasi setempat dianggarkan berjumlah 150,000 orang yang mana jambatan itu akan menjadi pemangkin kepada pelaburan di Tanjung Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju serta menambah baik sosioekonomi penduduk di Bintulu.