BINTULU: Pengerusi GPS dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata GPS akan terus berdiri memberi sokongan padu kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, kata beliau, negara memerlukan kerajaan yang stabil dalam menghadapi pelbagai cabaran sekarang terutamanya selepas pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi negara selepas PKP dilaksanakan.

“Apa yang kita perlu ialah sebuah kerajaan yang amat stabil. Yang berebut-rebut hendak menjadi Perdana Menteri ini apa hal?,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan tinjauan ke tapak cadangan untuk pembangunan hab petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu di sini pada Khamis.

“ Perdana Menteri sudah ada di situ. Rakyat berkehendakkan kerajaan yang stabil dan diurus dengan baik,” katanya lagi.

“Kalau kita bergaduh macam ini, kita juga rugi, jadi kita jumpa PM mahu nyatakan GPS tetap berada di belakangnya,” jelas beliau.

Abang Johari sebenarnya merujuk kepada kebuntuan dialami parti komponen PH berkaitan pemilihan calon Perdana Menteri.

DAP dan Amanah mahu ahli parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala PKR bertegas mahukan presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhirnya Mahathir mencadangkan supaya Presiden Bersatu Datuk Seri Shadfioe Apdal dicalonkan sebagai Perdana Menteri. 

Langkah berkenaan mendapat tentangan pelbagai pihak.

Pada Rabu, Abang Johari dan para presiden parti yang menyokong Muhyiddin telah berjumpa dengan Perdana Menteri di Putrajaya.

Menurut Abang Johari yang juga Presiden PBB, sokongan ini telah dinyatakan beliau sewaktu mesyuarat ketua-ketua parti GPS dan parti-parti yang bergabung di bawah  PN yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.