KUCHING: Sekolah-sekolah di Sarawak akan turut dibuka pada 15 Julai 2020, seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersetuju akan tarikh tersebut kerana berdasarkan lawatan yang telah dilakukan oleh beliau di sekolah sebelum ini menunjukkan tahap pematuhan garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah sangat baik.

“Kita akan mengikuti apa yang telah diumumkan kerana pada dua hari lepas saya telah melawat ke sekolah dan saya lihat mereka mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kementerian dengan baik.

“Jadi saya berharap apabila sekolah dibuka kelak, semua pihak dapat bekerjasama dalam memastikan perkara ini dipatuhi. Ia adalah penting untuk melindungi diri sendiri, amalkan penjarakan sosial dan jaga kebersihan diri,” katanya dalam satu sidang media COVID-19 Sarawak, Rabu.