BINTULU: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah lori tangki di KM 73 Jalan Bintulu – Miri, awal tengah hari semalam.

Mangsa dikenali Ismail Daud Abdullah @ Bong Chon Fat, 64, tersepit di bahagian hadapan lori tangki berkenaan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dipandu mangsa terbabas dan terjunam lalu terbalik selepas melalui selekoh curam.

Mangsa meninggal di tempat kejadian manakala penumpang yang merupakan cucu mangsa dikenali sebagai Calvin Bong, 15, tiada mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan jalanraya maut ini berlaku akibat kecuaian pemandu yang bertindak memandu laju sehingga gagal mengawal kenderaan.

Kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dirujuk ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.