KUCHING: Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM16.4 juta bagi Bantuan Makanan Sarawakku Sayang (BMSS) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan makanan ini merupakan bekalan makanan asas dan diagihkan kepada golongan yang layak,

“Kerajaan Sarawak telah menyediakan RM16.4 juta untuk bantuan bekalan makanan asas kepada semua penduduk yang layak.

“Ini telah memberi manfaat kepada 380,887 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh negeri Sarawak.

“Sementara Kerajaan Persekutuan pula turut memperuntukkan bantuan khas makanan seperti berikut, RM3.1 juta di bawah Program bantuan Khas Bakul Makanan Kawasan Parlimen yang melibatkan lebih kurang 40,000 KIR dan RM582,500 Bantuan Khas di bawah Tabung Bantuan COVID-19 (NADMA) yang melibatkan lebih kurang 11,600 penerima,” katanya semasa ditemu ramah dalam Agenda Astro Awani mengenai Ekonomi Digital: Strategi Pembangunan Ekonomi Pasca COVID-19 baru-baru ini.

Katanya, kesemua pengagihan bekalan makanan ini telah dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s).

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, pandemik COVID-19 telah mengubah landskap perniagaan bukan sahaja di dunia, tetapi juga di Sarawak dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu memanfaatkan perniagaan secara digital.

Ini kerana sepanjang PKP ramai di kalangan masyarakat dan peniaga menggunakan platform digital.

“Kita merasa bertuah dan bersyukur, kerana Ketua Menteri Sarawak telah memperkenalkan inisiatif memperkasakan ekonomi digital sejak 3 tahun lepas.

“Masyarakat secara umumnya sedar tentang kepentingan ekonomi digital.

“Ini terbukti semasa PKP di mana ramai masyarakat dan peniaga menggunakan platform digital untuk berurusan dan berniaga. Ianya bukan setakat berlaku di bandar, malahan di luar bandar,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari telah menubuhkan Sarawak Economic Action Council (SEAC) yang bertujuan untuk merancak dan memperkasakan pembangunan ekonomi Negeri Sarawak pasca pandemik Covid-19 bagi tempoh 10 tahun (2020-2030).

“Antara bidang-bidang yang diberi penekanan adalah seperti manufacturing dan Entrepreneur Development, mining, forestry, tourism, education dan human capital developments, renewable energy, data center dan innovation, services, infrastructure and commercial agriculture,” katanya.

Untuk itu, kita memerlukan kolaborasi yang mantap antara pihak Kerajaan dengan pihak swasta, IPT, Dewan-Dewan Perniagaan, institusi kewangan dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk merangka pelan pembangunan tersebut.