KUALA LUMPUR: Cadangan mengenai latihan penuh secara sentuhan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur, akan dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 9 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata dalam mesyuarat itu juga beliau akan mengusulkan supaya penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi melibatkan aktiviti yang tidak ada sentuhan badan seperti sukan individu, sukan permotoran, sukan riadah, sukan air dan sukan ekstrem dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Bagaimanapun menurutnya kedua-dua cadangan itu masih tertakluk kepada persetujuan ahli-ahli mesyuarat berkenaan, selain pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Cadangan kebenaran untuk latihan secara kontak penuh (full contact training) ini akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk Liga Bola Sepak (Malaysia Football League) dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dimulakan dalam masa yang terdekat,” jelas Reezal Merican dalam satu kenyataan. 

Beliau juga memaklumkan pihak kementerian akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat.

Reezal berkata ia bertujuan untuk berkongsi pandangan demi pembangunan sukan dalam negara, selain memberi cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard yang bersesuaian.

Kerajaan sebelum ini memberi lampu hijau pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa kedua bermula 15 Jun lepas dengan kebenaran kepada orang awam melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan di fasiliti tertutup dan terbuka.

Beberapa fasiliti sukan seperti gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai dan pusat snuker turut dibenarkan beroperasi semula tanpa melibatkan sentuhan.

Kerajaan turut memberi kebenaran kepada sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan sukan tempur seperti silat dan taekwondo untuk memulakan program latihan tanpa sentuhan badan (non-contact training) dengan jarakan sosial tiga hingga lima meter.