KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya membuka peluang kepada warga Universiti, alumni dan orang awam, untuk mendapatkan nombor pendaftaran khas tertera nama ‘UNIMAS’ melalui kaedah bidaan.

Nombor plat khas kenderaan tersebut akan bermula dengan abjad ‘UNIMAS’ diikuti dengan rangkaian nombor pilihan dan hanya boleh dibeli secara eksklusif dan secara bidaan menerusi sistem UNIMAS8.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi UNIMAS menjadi universiti ketiga melancarkan e-bidaan yang bertujuan untuk menjana pendapatan universiti.

Katanya, universiti perlu menerokai sumber baharu untuk dijadikan pendapatan, dan satu daripadanya ialah e-bidaan nombor pendaftaran.

Sementara itu, majlis pelancaran yang dirancang untuk diadakan pada Mac lepas, telah ditangguhkan pada hari ini, dan telah diadakan dalam majlis ringkas dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa PKPP.

Majlis pelancaran nombor pendaftaran khas UNIMAS tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS,YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, dan disaksikan bersama oleh Naib Canselor, YBhg Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Bendahari, Pendaftar, ahli Jawatankuasa Eksekutif, wakil JPJ, pengurus dan wakil Bank Rakyat, wakil Maybank dan rakan media.

UNIMAS akan membuka bidaan untuk nombor plat kenderaan bermula dari angka 10 hingga 9999 dengan harga terendah RM350; RM888;RM1,500;RM2,000;RM2,500 dan RM6,000.

Nombor pendaftaran angka 1 hingga 9 disimpan untuk kegunaan universiti dan alumni yang inginkan nombor pendaftaran satu digit. Nombor tersebut akan ditawar pada harga RM1 juta.

Bidaan akan ditutup pada 7 Julai 2020 pada pukul 12.00 tengahari untuk bidaan Siri 1/2020.