KUCHING: Sebanyak 37 projek infrastruktur akan dilaksanakan dalam kawasan Dun Pantai Damai sepanjang tahun ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman berkata, kesemua projek dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dibiayai Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, projek tersebut merangkumi pembinaan pontun dan pangkalan awam, menaik taraf jalan kampung, jalan tembok dan jalan titi, membina padang futsal dan menaik taraf gelanggang sepak takraw, membina dataran penjaja serta menaik taraf balai raya dan dewan serba guna.

“Terima kasih kepada Pejabat Residen Bahagian Kuching yang bertindak sebagai agensi penyelaras yang merealisasikan projek-projek bermanfaat kepada rakyat ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek RTP Dun Pantai Damai baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) turut berterima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri serta agensi pelaksana yang membantu untuk melancarkan pelaksanaan setiap projek yang dirancang.

Agensi pelaksana projek RTP tersebut melibatkan JKR, DBKU, DID, MPP dan Sesco. Menurutnya lagi, kebanyakan projek yang disenaraikan untuk pelaksanaan tahun 2018 dan 2019 telah dikendalikan dan siap dengan sempurna.

“Alhamdulillah projek RTP yang dirancang setahun atau dua tahun lepas telah siap dan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat,” ujarnya