MIRI: Sebanyak 2,385 atau 83.4 peratus Tadika Kerajaan dan 461 atau 96 peratus daripada jumlah keseluruhan Tadika Swasta di Sarawak mula beroperasi pada hari ini, Rabu, 1 Julai 2020 dalam menyambung sesi persekolahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, tadika yang masih belum beroperasi hari ini akan membuka persekolahan mereka pada 15 dan 20 Julai akan datang. 

“Banyak persediaan telah dibuat dalam prosedur operasi standard (SOP) sebelum dibuka yang mesti dilakukan. 

“Saya melihat banyak pengubahsuaian telah dilakukan bagi memenuhi SOP. Sebelum anak-anak masuk diambil pemeriksaan dari segi suhu badan, gejala-gejala dan pembersihan tangan menggunakan sanitizer dan dari segi rekod kesihatan kanak-kanak perlu diambil. 

“Bagi salah satu daripada SOP untuk TADIKA dan TASKA ibu bapa juga perlu mengisi borang supaya kita tahu keadaan ibu bapa,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Tadika Astana, Jalan Datuk Muip 2, Piasau Jaya Fasa 1 pada Rabu. 

Dato Sri Fatimah turut memberi keyakinan kepada orang awam dan ibu bapa bahawa kerajaan sangat menitikberatkan pelaksanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan Tadika dan Taska. 

“Saya nak yakinkan kepada orang awam dan juga ibu bapa bahawa berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan pada hari ini dan sebelum ini kita dapati pematuhan terhadap SOP sangat tinggi. 

“Guru-guru dan operator-operator telah bekerja keras untuk memastikan bahawa semua ini dilakukan mengikut SOP dengan anak-anak patuh kepada setiap arahan yang diberikan guru,” ujarnya. 

Tegasnya lagi, mana-mana Tadika dan Taska yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan akan diarahkan tutup. 

Hadir sama Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey binti Yunus dan Penyelia Tadika Astana June binti Abdullah.

2,385 Tadika Kerajaan Dan 461 Tadika Swasta Di Sarawak Beroperasi Hari Ini, Patuhi SOP DitetapkanMIRI: Sebanyak 2,385…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Tuesday, June 30, 2020