SIMANGGANG: Guru prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman di sini mengambil langkah proaktif dengan menyediakan alat pelindung muka kepada setiap murid yang memulakan sesi persekolahan hari pertama apabila kelas prasekolah mula dibuka hari ini.

Salah seorang tenaga pengajar yang ditemui, Jailani Yatim berkata, pihaknya sudah menyiapkan pelindung muka sebagai mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di prasekolah berkenaan.

Katanya, pelindung muka itu boleh diulang guna dan murid akan lebih selesa dan mudah untuk berkomunikasi semasa di dalam bilik darjah.

“Sebelum kelas prasekolah ini dibuka lagi, kami sudah membuat persiapan SOP seperti menghasilkan pelindung muka, cecair pembasmi kuman dan juga sabun.

“Pelindung muka ini kami reka khas sendiri. Sebaik sahaja kanak-kanak sampai di pintu masuk sekolah, kami akan mengimbas suhu badan, memberi cecair pembasmi kuman sebelum memakai pelindung muka,” katanya.

Menurut Jailani lagi, kelas prasekolah SK. Sri Aman mempunyai 27 orang pelajar membabitkan tiga kelas dengan tiga guru serta tiga orang pembantu kanak-kanak.

Jailani berkata, guru kemudiannya akan membawa masuk kanak-kanak ke dalam Tadika dan mengamalkan penjarakan sosial sesuai dengan norma baharu pada masa kini.

Katanya lagi, ibu bapa yang datang juga perlu mengimbas Kod QR dan wajib mengisi borang yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan pihaknya menghubungi ahli keluarga.

“Bagi minggu pertama ini, tadika ini akan membuat orientasi penjarakan sosial dan melaksanakan sesi pembelajaran secara kreatif berkaitan wabak COVID-19 agar mereka dapat memahami lebih jelas akan bahaya wabak Covid-19,” katanya lagi.