JULAU: Rumah Panjang Amas Jikang 32 pintu dekat sini diancam tanah runtuh.

Semalam penghuni bilik nombor 10 rumah panjang berkenaan berdepan detik cemas apabila berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan belakang rumah sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian dapur rumah tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 9.45 pagi dengan lima penghuni sedang berada di bilik berkenaan ketika kejadian tersebut.

Bagaimanapun kesemua penghuni selamat dan tidak mengalami kecederaan kerana tidak berada di ruang dapur pada ketika itu.

Sumber dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Julau memberitahu seramai tiga anggota dari APM Julau dan dua petugas dari Pejabat Daerah Julau telah
berada di lokasi bagi memantau kejadian berkenaan hari ini.

Ketika dilokasi pihak terlibat membuat pemantauan dan meneliti keadaan keselamatan di sekitar rumah panjang tersebut bagi melaksana tindakan susulan selepas itu.

Penghuni juga dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada bila-bila masa.

Setakat ini tiada penghuni dipindahkan akibat kejadian itu.