KUCHING: Kerja-kerja baik pulih pejabat am, kelas dan bilik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat yang bernilai RM100,000 dan merupakan sebahagian daripada Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Satok 2019 kini telah siap.

Timbalan Ketua PBB Cawangan DUN Satok Dato’ Ibrahim Baki berkata, projek yang mengambil masa empat bulan itu telah berjaya disiapkan lebih awal dari tarikh akhir pelaksanaannya pada 8 Julai 2020.

“Projek ini merupakan salah satu daripada projek RTP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok yang melibatkan peruntukkan lebih kurang RM100,000 merangkumi pengubahsuaian pejabat am, kelas dan bilik guru serta atap dan lantai dan sebagainya.

“Alhamdulillah, selepas melakukan tinjauan ini saya berpuas hati dan amat memuaskan dengan hasil kerja yang dilakukan.

“Malah, kontraktor yang telah dilantik menerusi cabutan undi juga melaksanakan kerja dengan baik sekali dalam tempoh yang lebih awal daripada tarikh sebenar,” katanya semasa ditemui selepas meninjau Projek Membaik Pulih Pejabat Am, Kelas dan Bilik Guru SK Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Dato Ibrahim menambah, terdapat satu lagi Projek Pembinaan Bangunan Baharu SK Rakyat yang akan dilaksanakan dalam tahun ini dengan ketika ini dalam proses perancangan sebelum tender dikeluarkan pada tahun ini.

“Selepas ini, insha Allah pada tahun ini juga akan dikeluarkan satu lagi tender oleh DBKU untuk membina satu bangunan baharu yang bernilai RM1.5 juta.

“Bangunan 4 tingkat ini akan menempatkan pentadbiran, makmal komputer dan bilik-bilik guru serta surau,” tambahnya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Siti Ajar binti Yasin ketika ditemui melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan yang telah dan akan diberikan dalam membantu meningkatkan infrastruktur di SK Rakyat ini.

“Mewakili staf SK Rakyat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Rakyat bersyukur kepada Allah S.W.T di atas bantuan yang telah diberikan Kerajaan Negeri Sarawak khasnya kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg dan atas inisiatif serta bantuan pihak pemimpin setempat kita mendapat banyak bantuan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Samad Gany, wakil Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan kontraktor.