KABONG: Paip utama pecah menyebabkan seluruh kawasan di Daerah Kabong, Roban dan beberapa kawasan lain sekitarnya kini terputus bekalan air bersih sejak petang semalam.

Berdasarkan notis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) gangguan bekalan air berkenaan berlaku disebabkan saluran paip utama pecah akibat kerja-kerja pembinaan jalan raya di kawasan Simpang Roban.

Notis berkenaan turut menyatakan kerja-kerja baik pulih saluran paip berkenaan kini sedang giat dilakukan oleh pihak kontraktor terlibat dan tidak dapat dipastikan tempoh masa sebenar yang diperlukan bagi memulihkan semula bekalan air di kawasan terjejas.

Bagaimannapun pihak JBALB menjelaskan bahawa pihak mereka berusaha sedaya upaya untuk memulihkan keadaan yang berlaku dengan secepat mungkin.

Usaha membaiki paip pecah menurut JBALB telah bermula sejak jam 7 malam semalam dan pihak JBALB cuba mengatasi masalah penduduk yang terjejas dengan menghantar air menggunakan lori tangki.

Bagaimanapun tindakan sementara itu tidak dapat meliputi semua kawasan yang terjejas berikutan jumlah lori tangki yang sangat terhad.

Sehingga berita ini ditulis jam 1 petang hari ini gangguan bekalan air terawat masih belum pulih dan penduduk di kawasan terlibat kini bergantung kepada air yang disimpan dalam tong dan juga membeli air minuman dalam botol buat sementara waktu.

Sesi persekolahan dalam norma baharu yang memerlukan bekalan air sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah bemula hari ini melibatkan kelas tadika dan prasekolah nyata terjejas dengan gangguan bekalan air tersebut.