MUKAH: Bekalan makanan eksotik umai segar sekarang ini masih seperti biasa meskipun ada pihak yang mendakwa pengusaha umai kekurangan bekalan ikan pirang.

Ini kerana ikan jenis pirang sentiasa berada di pasaran. Ikan tersebut merupakan pilihan ramai kerana isinya enak serta manis dan sangat sesuai untuk dijadikan umai.

Menurut salah seorang pembuat umai di sini, Maseliyh, rata-rata harga sekotak hirisan umai segar ialah RM10, manakala sambal campur RM3 dan sambal jeb (cecah) pula RM5.

Harga umai ini tidak berubah walaupun ketika PKP sejak Mac lalu.

Katanya, bagi pengunjung ke Mukah, tanpa membeli umai merupakan sesuatu yang tidak lengkap.

“Umai di sini disediakan dengan sempurna… hanya tunggu nak makan sahaja.

“Beli sahaja dan boleh terus makan di rumah atau di hotel penginapan,” katanya.

Menurut Maselih lagi, sejak Jumaat lepas, ramai pengunjung pasar basah di sini, membeli umai beliau.

“Saya berani katakan, tiada tempat lain selain di Mukah yang menyediakan umai ikan segar yang cukup enak,” katanya.

Mukah merupakan destinasi tumpuan warga Sibu, Miri dan Bintulu setiap kali musim ikan banyak.

Selain ikan pirang, umai juga boleh diperbuat daripada ikan tenggiri (umai jeb) dan ikan bawal. Malah beberapa jenis ikan lain juga boleh dijadikan umai.