KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Perundangan Advokasi dan Hak Asasi Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap Perlembagaan tidak boleh diterima sama sekali, malah merupakan satu sifat khianat dan tidak boleh dimaafkan.

Menurut beliau, pelakunya perlu segera didakwa mengikut Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000.

“Pemenjaraan adalah ubat terbaik kerana mereka menghina lambang Malaysia, Jata Negara. Janganlah Kementerian Dalam Negeri tersentuh dengan permohonan maaf yang telah diajukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa..

“Itulah wataknya, menghina dulu, mohon maaf kemudian. Skrip sama yang mudah dibaca, murah sungguh harga Jata Negara kalau sebegitu mudah maaf kita berikan,”  ujar beliau lagi.

Sebuah syarikat buku dilaporkan telah  menerbitkan buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” yang menggunakan visual mirip Jata Negara.

Ia memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Penerbit buku itu  Chong Ton Sin, dilapor berkata bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja.

Mohd Fared turut  berkata MBM juga difahamkan terdapat artikel yang dimuatkan dalam buku tersebut tidak mendapatkan keizinan penulis artikel terbabit, sekali gus memalitkan nama buruk penulis berkenaan.

“Ini jelas melanggar etika penulisan dan penerbitan. MBM mendesak siasatan dan tindakan undang-undang segera diambil,” katanya.