KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan projek pembinaan Jalan Sungai Maong ke Segedup di sini semalam menjelaskan jalan raya sepanjang kira-kira 3.6km itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk di kawasan terbabit, tetapi juga penduduk di bandar raya ini.

Selain itu, menurut Ketua Menteri, projek yang menelan kos sekitar RM28 juta dan dijangka siap pada 2022 akan membuka kawasan Sungai Maong dan Segedup.

Terdapat perancangan untuk membina kawasan perumahan mampu milik di bawah fasa kedua pembangunan di kawasan terbabit untuk para penduduk seperti di Sungai Midin di sini dan Kemuyang, Sibu.

“Jalan sudah ada, dapat kita bangunkan perumahan. Pada masa sama, kita bangunkan kebajikan sosial,” ujarnya.

“Ia akan menyediakan kemudahan perumahan kepada generasi kedua penduduk Kampung Segedup termasuk Kampung Kudei Iban yang padat penduduknya,” katanya.

Jelas Ketua Menteri, pembangunan di kawasan Sungai Maong dan Segedup adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak dalam membangunkan seluruh pelosok negeri ini.