KUCHING: Bagi menggantikan banyak projek di negeri ini yang dibatalkan ketika Kerajaan PH memerintah selama 22 tahun, Kerajaan Sarawak  akan menuntut lebih banyak projek  daripada Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan di negeri ini, kata Ketua Menteri.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinannya komited untuk memastikan projek jambatan berkenaan akan dilaksanakan demi faedah rakyat di negeri ini.

Sebaik-baik sahaja berkuasa pada 2018, Kerajaan Persekutuan di bawah PH  telah membatalkan pembinaan beberapa jambatan dan projek lain  yang diluluskan pembinaan oleh Kerajaan BN.

Tindakan berkenaan telah mencetuskan kemarahan rakyat Sarawak dan kritik pemimpin GPS serta pemimpin masyarakat.

Jambatan terbabit ialah jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian;  jambatan Betong; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; dan jambatan Batang Paloh, Mukah.

Susulan itu, untuk tidak mengecewakan rakyat dan bagi memastikan projek berkenaan tidak tergendala, Abang Johari mengumumkan akan tetap meneruskan pembinaan projek terbabit walaupun terpaksa menggunakan bajet Kerajaan Negeri.

“Kita akan teruskan projek ini tetapi mungkin kita akan minta projek lain sebagai ganti,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Sungai Maong ke Segedup di sini  pada Selasa.