KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus membiayai pembinaan projek lima jambatan utama di negeri ini.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinannya komited untuk memastikan projek jambatan berkenaan akan dilaksanakan demi faedah rakyat di negeri ini.

Jambatan terbabit ialah jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian;  jambatan Betong; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; dan jambatan Batang Paloh, Mukah.

Sebaik-baik sahaja berkuasa pada 2018, Kerajaan Persekutuan di bawah PH  telah membatalkan pembinaan beberapa jambatan dan projek lain  yang diluluskan pembinaan oleh Kerajaan BN.

Foto Ghazali Bujang

Tindakan berkenaan telah mencetuskan kemarahan rakyat Sarawak dan kritik pemimpin GPS serta pemimpin masyarakat.

“Kita akan terus biayai projek berkenaan. Jika kita minta Kerajaan Persekutuan membiayainya, ini mungkin akan menjejaskan tempoh projek berkenaan siap,” katanya.

“Kerana kita sudah beri komitmen, maka kita akan terus gunakan wang kita,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Sungai Maong ke Segedup sepanjang 3.6 km dengan kos sekitar RM28 juta di sini  pada Selasa.

Yang akan dilakukan, katanya, ialah Kerajaan Sarawak akan meminta Kerajaan Persekutuan yang kini di bawah PN untuk menyalurkan peruntukan sama dengan nilai projek berkenaan.

Lima jambatan berkenaan akan menghubungkan negeri ini sehingga memudahkan perjalanan dengan menyingkatkan tempoh perjalanan, selain memberi kesan limpahan sosioekonomi kepada rakyat Sarawak.

Projek yang dilaksanakan itu rata-tata disambut positif oleh rakyat Sarawak.