KUCHING:  Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata  Jalan Sungai Maong ke Segedup sepanjang sekitar 3.6km antara projek di bahagian Kuching yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, dengan siapnya jalan berkenaan pada Januari 2022  nanti akan membantu  untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di antara Matang dengan Batu Kawa.

Majlis penyempurnaan pecah tanah bagi projek dengan kos sekitar RM28 juta itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa.

Masing berkata  jalan terbabit akan menyediakan perhubungan yang lebih lancar, selamat dan pantas kepada penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Maong, Segedup dan Satok.

Foto Ghazali Bujang

“Jalan ini juga dipercayai akan memberi pengalaman pemanduan yang lebih baik selain memberi manfaat sosioekonomi  kepada penduduk serta pembangunan secara keseluruhannya,” ujarnya pada majlis pecah tanah projek berkenaan.

“Jalan ini akan menyediakan jalan alternatif kepada penduduk yang tinggal di kawasan ini untuk melakukan perjalanan terutama ke sebelah utara Kuching,” jelas beliau lagi.

Jalan baharu berkenaan adalah berstandard U3 JKR menghubungkan Kampung Sungai Maong dan Kampung Segedup serta menaik taraf jalan kampung sedia ada kira-kira 600 meter. 

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata dua jambatan konkrit dicadangkan menyeberangi Sungai Maong (80 meter) dan Sungai Pedada (54 meter). 

Sebagai tambahan, Kampung Sungai Maong akan dihubungkan dengan jalan baharu berkenaan melalui jalan pintas sepanjang 69 meter.