KUALA LIUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera menggantung penjualan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong.

Hal ini menurut Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad adalah kerana buku itu jelas menghina negara.

“Secara khusus, Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya. Perbuatan sedemikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahkan, ujarnya,  penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam. 

“Ia juga dilihat mengandungi  unsur-unsur melampau yang mesti dicegah pihak berkuasa,’ kata beliau lagi.

Jelas Kamaruzaman, pemeliharaan Jata Negara daripada sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

“Seharusnya, seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghormati dan memelihara penghormatan dan kedaulatan negara, sementelahan, tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, di samping tahun 2020 merupakan ulang tahun ke-50 Rukun Negara,” tegasnya.

“PAS mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara,” katanya lagi.