KUALA LUMPUR: Kalau tidak terperanjat ‘beruk’ terperanjat ‘keralah’… itu luahan spontan dan secara sinis Setiausaha Agong UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kata Ahmad Maslan, beliau  yakin Anwar tidak akan menerima cadangan itu. 

“Saya tidak yakin beliau akan menerima dan apabila Parti Amanah Negara (PAN) sendiri mengatakan mereka tidak dirundingi dan sehari dua ini kenyataan Datuk Seri Saifudin Nasution mengatakan bahawa hanya Majlis Presiden (PH) yang boleh menetapkan siapakah calon perdana menteri PH. Kalau tidak berada dalam Majlis Presiden itu bererti cadangan itu adalah hanya cadangan yang tidak boleh diterima oleh mereka,” ujarnya seperti dipetik portal UMNO.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dicalonkan secara rasmi sebagai Perdana Menteri kesembilan, manakala Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipertikaikan pula masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Sebelum ini, DAP dan Amanah mencadangkan nama Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, namun ditentang keras PKR yang tetap mahukan Anwar.

Menjelang PRU-14, PH berjanji selepas Mahathir menjawat jawatan itu, ia perlu diserahkan kepada Anwar, namun  tidak menjadi kenyataan selepas pakatan berkenaan tumbang pada Februari lalu.