KUCHING:  Bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari  jawatan Perdana Menteri tidak perlu dijadikan rebutan kerana yang utama  ini ketika ialah  menangani cabaran yang dihadapi negara, termasuk dari segi ekonomi dan ancaman Covid-19.

Katanya, yang penting ialah kestabilan politik negara bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan berkesan.

“Isu jawatan perdana menteri perkara kedua penting, sebaliknya yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui  media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Jalan Sungai Maong-Segedup di sini pada Selasa.

Beliau turut menyentuh isu berkenaan dalam ucapan beliau sebelum itu.

“Sekarang negara berdepan banyak cabaran.  Kita belum selesai hadapi Covid-19, kedua, ekonomi kita,” ujarnya.

“Kita memerlukan kepemimpinan yang lebih fokus kepada usaha menguruskan masalah ini,” tegasnya lagi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  mecadangkan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya PH berkuasa semula, dan dua jawatan timbalan menteri diwujudkan.

Beliau mencadangkan Pesiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri II.

Bagi Abang Johari,  Tan Sri Muhyiddin Mahyuddin Yassin perlu diberi kepercayaan  terus memimpin negara kerana telah berusaha melakukan yang terbaik ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

“Kenapa harus berebut hendak jadi Perdana Menteri, biarlah Muhyiddin  kerana beliau sudah duduk di sana,” katanya lagi.

Kini PH sedang berusaha untuk memastikan langkah mereka kembali berkuasa menjadi kenyataan.

PH tumbang pada pertengahan Februari lalu susulan isu peralihan jawatan daripada Mahathir kepada Anwar sebagai Perdana Menteri yang menyaksikan Mahathir berundur secara mengejut dari jawatan itu.