KUCHING: Dalam usaha memulihara dan melindungi ekosistem marin di sepanjang perairan pantai di negeri ini, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM70 juta untuk menanam kira-kira 17,200 unit tukun tiruan di lokasi-lokasi strategik bermula dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah melaksanakan projek tukun tiruan tersebut bermula 2018 sehingga 2021.

Jelas beliau, projek berkenaan juga amat signifikan dalam usaha kerajaan negeri melindungi sumber marin di Sarawak tidak digangu gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita mahu memastikan para komuniti nelayan mendapatkan sumber perikanan yang banyak selain memerangi kegiatan pukat tunda haram di sekitar perairan negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penamanan Tukun Tiruan di perairan Muara Tebas-Sebuyau, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, projek tukun tiruan berkenaan bakal menjadi antara yang terpanjang di dunia.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Santubong. Dato Sri Wan Junadi Tuanku Jaafar; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datu Len Talif Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton.