LIMBANG: Kerajaan Sarawak akan membenarkan 20 penerbangan seminggu ke Limbang bermula Julai tahun ini.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, jumlah ini ditambah bagi membolehkan pelawat ke Limbang menggunakan pengangkutan udara sekaligus memenuhi keperluan penduduk di Sarawak.

“Jumlah penerbangan ke Limbang akan ditambah kepada 20 berbanding 11 penerbangan seminggu bermula Julai ini,” katanya pada sidang media di Limbang, Isnin.

Mengenai perkhidmatan bas awam dari Sarawak ke Sabah pula, beliau mendedahkan ia akan dibincang bersama Brunei.

Jelasnya lagi, pengusaha bas awam juga belum ada membuat sebarang permohonan kepada Kementerian Pengangkutan Sarawak.

“Kita minta pengusaha bas memohon kepada kementerian untuk diketengahkan kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak bagi membolehkan kerajaan berbincang dengan Brunei supaya mereka mendapat kebenaran laluan rentas sempadan,” ujarnya.