PUSA:  Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Penasihat di Pejabat Ketua Menteri Sarawak dengan baik khususnya dalam membawa pembangunan di kawasan luar bandar.

Menurutnya, amanah diberikan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg begitu berat namun perlu beliau pikul demi membantu masyarakat luar bandar terutama di kawasan Batang Lupar.

Ketika ditemuramah UKAS semasa Program Lawatan Tapak Pertanian dan Sentuhan Rohani di Muton Undai, Pusa semalam, Dato Sri Rohani memberitahu pembangunan di kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan dan salah satu daripada inisiatif Ketua Menteri.

Mengenai lawatan tersebut, beliau berkata kawasan Muton Undai berpotensi dijadikan tapak pertanian, ternakan ayam daging dan pusat pengeluaran bahan mentah untuk dikomersilkan.

Beliau bagaimanapun akui wujud kekangan untuk memasarkan produk dari kawasan itu ke pasaran luar kerana faktor logistik di DUN Beting Maro.

Dato Sri Rohani seterusnya mengagihkan bantuan makanan kepada sembilan rumah terpilih di Kampung Kalok, Pusa