TELOK MELANO: Usaha meningkatkan kemudahan asas luar bandar diteruskan dengan pelaksanaan Projek Rakyat Kerajaan Sarawak di Telok Melano, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu.

“Projek Rakyat Masjid Telok Melano adalah di antara yang akan dibina di Telok Melano dengan kos RM3 juta dan masih dalam proses tender namun kedudukan Masjid telah diluluskan oleh Jabatan Tanah Dan Servei.

“Projek di bawah Agensi Pelaksana Jabatan Agama Islam Sarawak ini bakal menjadi tarikan dan kegunaan bukan hanya untuk penduduk Telok Melano tapi juga untuk pengunjung yang datang berkunjung.

“Selain itu, Anjung Usahawan juga bakal dibina dengan kos RM5 juta di bawah Agensi Pelaksana Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan (MINTRED),” katanya ketika meninjau projek-projek berkenaan bersama Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Datuk Seri Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Katanya lagi, di bawah projek Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTP) pula, RM200 ribu akan diperuntukkan untuk membina tandas awam bagi kemudahan pengunjung ke Telok Melano.