KUALA LUMPUR: Polis menerima 21 laporan polis dibuat pelbagai pihak berkaitan buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang didakwa menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid seperti dilaporkan Bernama berkata, pihaknya membuka kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Terkini, penerbit buku yang berdepan kontroversi tersebut memohon maaf berhubung kulit buku mirip Jata Negara itu.

Seperti dilaporkan Malaysiakini, Pengarah syarikat Gerakbudaya, Chong Ton Sin mengakui pihaknya tiada niat menghina lambang negara dan memohon maaf atas kesilapan berkenaan serta berjanji lebih sensitif pada masa depan.

Memetik portal tersebut, Chong berkata imej pada kulit buku itu berasal dari lukisan yang pernah dipamerkan di Sarawak beberapa tahun lalu dan lukisan tersebut habis dijual.

Menurutnya, penggunaan lukisan pada kulit buku itu diatur antara pelukis dengan pengarang buku tersebut.

Di Twitter, pereka grafik Fahmi Reza berkata, imej yang digunakan pada kulit buku itu merupakan lukisan “oil painting lama” yang pernah dipamerkan pada pameran seni terbuka di galeri di Kuala Lumpur enam tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin turut merespons, kementeriannya mengarahkan polis menjalankan siasatan berkaitan isu tersebut.