HAVANA: Sejak Cuba dilanda pandemik Covid-19, penduduk di sekitar Havana sering kali melihat kelibat wanita berjalan dengan berbaju kotak.

Rumah kotaknya setinggi badannya dan hanya bahagian muka, kaki dan tangan dapat dilihat.

Itulah Feridia Rojas, 82, bekas jururawat.

Rojas dilihat di merata-rata tempat, kedai menjual daging, kedai roti atau kedai serbaguna di sekitar Havana.

Rojas memberitahu dia mengambil keputusan membuat rumah kotak tersebut bagi mengelak dirinya dijangkiti Covid-19.

Ini kerana Cuba tidak menjual peralatan untuk keselamatan diri khususnya pelitup muka untuk individu.

Memandangkan dua anaknya tinggal di Amerika Syarikat, tiada siapa dapat membantu dia membeli barangan keperluannya.

Ekoran itu dia terpaksa melakukan semuanya sendiri dan timbullah idea membuat baju kotak tersebut.

Menurutnya, dia mengutip kotak tersebut di kedai farmasi, memotong lubang untuk bahagian muka dan tangannya.

Rojas memakai cermin pelindung muka apabila keluar rumah.

Dia tahu setiap kali keluar dengan baju kotaknya orang di sekelilingnya tersenyum dan ketawa melihatnya.

Ini sekali gus membuatnya amat gembira kerana berjaya menghilangkan stres dan perasaan bimbang mereka buat seketika.