KUCHING: Kementerian Utiliti akan membantu memulihkan kesemua 23 projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES), yang kebanyakannya terletak di kawasan utara Sarawak, menurut menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

“Langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan negeri untuk memenuhi komitmen bagi mencapai liputan bekalan elektrik sepenuhnya di Sarawak menjelang 2025.

“Kami akan terus berusaha melakukan yang terbaik bagi mencapai 97 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar pada bulan-bulan akan datang dan liputan sepenuhnya menjelang 2025 untuk memastikan tiada seorang pun akan tinggal dalam kegelapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek-projek tersebut dianugerahkan oleh kerajaan Persekutuan kepada kontraktor pihak ketiga, Citra Alti Sdn Bhd, untuk membekalkan elektrik ke kampung-kampung dan rumah-rumah panjang menjelang 2017 namun kerja-kerja dihentikan apabila syarikat berkenaan berdepan kesukaran untuk menyiapkannya.

“Daripada keseluruhannya, 10 projek tersebut yang melibatkan 26 kampung dan 633 isi rumah, telah diambil alih oleh kerajaan Sarawak dan Sarawak Energy Berhad pada akhir 2019,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan Sarawak masih dalam proses mengambil alih baki 13 projek yang melibatkan 18 kampung dan 358 isi rumah daripada syarikat dan kerja-kerja pemulihan telah bermula.

“Satu daripada projek itu merangkumi tiga kampung dengan 127 isi rumah di Marudi telah diganti dengan skim solar Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES),” tambahnya.

Enam lagi projek, melibatkan 16 kampung dan 328 isi rumah, digabungkan di bawah pembiayaan Projek Rakyat kerajaan negeri sementara proses tender baki projek akan dijalankan pada bulan-bulan akan datang.

Kumpulan 23 projek ini adalah tambahan kepada 81 projek yang sedang dilaksanakan dalam Pelan Induk Peningkatan Bekalan Elektrik Luar Bandar di bawah Projek Rakyat kerajaan Sarawak bernilai RM2.37 bilion.