SEMATAN: Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu melawat beberapa tapak projek yang diluluskan sebelum ini di kawasan beliau pada Isnin.

Antara kawasan yang beliau tinjau ialah Tube Well di Telok Melano, Masjid Telok Melano dan Anjung Usahawan selain melawat projek Jalan Telok Melano-Telok Serabang dan pos kawalan sementara Telok Melano serta Tebingan Sematan.

Jamilah berkata projek berkenaan diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Tube Well memudahkan penduduk kampung mendapat bekalan air bersih, sementara Anjung Usahawan memudahkan penduduk dalam Daerah Lundu khasnya Telok Melano berniaga.

Bercakap berkaitan pembinaan pos kawalan imigresen kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bernilai RM9 juta, Jamilah menyifatkan pos tersebut penting mengelak sempadan perairan Sarawak diceroboh.

Setakat ini pos kawalan sementara dibina sebelum bangunan tetap dibina.

Menurut beliau terdapat projek dalam pembinaan dan ada yang akan dimulakan dua atau tiga bulan lagi.

Jamilah berharap masyarakat Tanjong Datu bersabar untuk melihat pembangunan yang sedang dibangunkan itu.