KUCHING: Kerajaan Sarawak komited meningkatkan transformasi ekonomi dan perhubungan desa serta keselamatan perkhidmatan udara luar bandar.

Dalam kenyataan media Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing berkata, kerajaan mengenal pasti Bukit Mabong di Kapit dan Bebuling di Spaoh sebagai laluan baharu Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di bawah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Tapak Bukit Mabong terpencil, dengan jumlah penduduk sekitar 50,000 orang diketahui mempunyai masalah akses yang ketara.

Sementara, Bebuling di Spaoh dipilih untuk meningkatkan hubungan udara dengan pusat pertanian utama Sarawak di Bukit Sadok. Ini diharap dapat membantu pengangkutan keluar hasil pertanian untuk dieksport.

Kenyataan media Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menyebut, Lapangan Terbang Bukit Mabong dengan kos pembinaan RM173.5 juta mempunyai landasan pacu sepanjang 790 meter yang boleh memuatkan pesawat penumpang twin otter dan pesawat Cessna 208 dengan muatan 3 tan.

Manakala, Lapangan Terbang Bebuling berharga RM91.4 juta.

Kedua-dua Lapangan Terbang Bukit Mabong dan Lapangan Terbang Bebuling mengambil masa 36 bulan disiapkan iaitu pada suku ketiga 2023.