KUCHING: MBKS tegas dengan pendirian hanya membenarkan dua orang sahaja duduk semeja di kedai makan.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng (gambar) berkata, walaupun terdapat garis panduan yang membenarkan empat orang dalam satu meja, namun adalah lebih baik sekiranya langkah berjaga-jaga diambil.

“Jika dilihat saiz meja makan di pusat penjaja yang agak kecil, sukar untuk pelanggan mengamalkan penjarakan sosial.

“Oleh itu, jika anda ke kawasan MBKS, anda perlu patuhi peraturan di kawasan ini dan hanya duduk dua orang sahaja dalam satu meja makan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Penutupan Pusat Derma Darah Alternatif Tabung Darah HUS di Dewan Masyarakat MBKS di sini.

Hong Seng menambah, terdapat kira-kira 300 gerai terpaksa ditutup sekiranya sesuatu berlaku di Pusat Penjaja MBKS.

“Jika masih ada yang berdegil untuk duduk semeja dengan keluarga, mereka perlu ke kawasan lain yang membenarkan mereka untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Ujar Hong Seng, para operator premis perniagaan dan kedai makan perlu bertanggungjawab bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

“Jangan mewujudkan kluster baharu, jika anda ingin nama anda terkenal, pandemik Covid-19 bukan caranya. “Jika anda rindu makanan di kedai, jangan ambil risiko kerana ia tidak digalakkan,” katanya lagi.

Hong Seng turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul di kedai makan yang sesak dan mengambil risiko tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.