SERIAN: Setiausaha dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjadi pentadbiran akar umbi yang memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri .

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha dan JKKK kampung perlu bekerjasama dalam mengemaskini data kampung untuk kemudahan masa hadapan sekiranya berlaku bencana.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Pelantikan Setiausaha JKKK Daerah Kecil Siburan anjuran Pejabat Daerah Kecil Siburan, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Tapah, Siburan, semalam.

Katanya, hal ini disebabkan terdapat kampung yang dikesan ketika proses pengagihan bantuan makanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas tidak memiliki data kampung yang lengkap.

Dalam majlis tersebut seramai 38 orang telah menerima sijil pelantikan Setiausaha JKKK, 2 orang menerima sijil pelantikan Ketua Masyarakat (Sambung Perkhidmatan) ,2 orang menerima sijil pelantikan Ketua Kaum (Pelantikan Baru) dan seorang menerima sijil pelantikan Ketua Kaum (Sambungan Perkhidmatan).