KUCHING: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh mendedahkan Kerajaan Brunei menyatakan minat untuk terlibat dalam pemuliharaan ekosistem marin di perairan sekitar kedua-dua negara.

Beliau yang juga Pengerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) menjelaskan, Brunei menyatakan minat mereka untuk menjalani kerjasama dengan Sarawak melalui projek ‘Sarawak Reef Ball’.

“Brunei berminat untuk terlibat secara langsung dalam projek ini di mana mereka ingin membiayai projek seperti ini.

“Sekiranya perkara ini direalisasikan, maka jajarannya akan menjadi lebih panjang merangkumi jarak 1,500 kilometer, sekali gus menjadikan projek tukun tiruan ini terpanjang di dunia,”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Penamanan Tukun Tiruan di Perairan Muara Tebas-Sebuyau semalam.

Semenjak 2018, tukun pertama telah didaratkan di perairan pantai Belawai ke Paloh, seterusnya ke pantai Lawas, Igan ke Mukah dan kini disambung semula sepanjang 60km di perairan pantai Muara Tebas sehingga ke Sebuyau dengan jumlah 1,200 tukun.