KUCHING: Ahli Parlimen Selangau Baru Bian menyokong sepenuhnya cadangan Tun Mahathir untuk mencalonkan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

Katanya, sebagai rakan setaraf di Persekutuan Malaysia, pemimpin Sabah dan Sarawak harus mempunyai hak yang sama seperti di Semenanjung Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Baru, pelantikan Shafie akan menjadi langkah besar dalam memenuhi visi ketika mereka bersetuju dengan pembentukan Malaysia untuk menjadi rakan setara membangun Malaysia.

“Datuk Seri Shafie Apdal merupakan ahli politik berpengalaman dan pemimpin parti yang kuat di Sabah. “Beliau memenuhi syarat untuk jawatan itu, dan pemimpin PH harus memberikan sokongan terhadap cadangan itu sebagai cara untuk mengakhiri kebuntuan terhadap calon Perdana Menteri.

“Pada masa sama, ia menyedari bahawa ada pemimpin lain yang memenuhi syarat yang berhak mendapat kesempatan yang sama untuk memegang jawatan,” jelas Baru dalam kenyataan di sini, semalam.

Baru berkata, satu-satunya syarat dalam Perlembagaan Persekutuan ialah orang yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang diPertuan Agong adalah seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti di bawah Artikel 43 (2)(a).

“Oleh itu, tidak ada halangan untuk pencalonan Shafie. Kita harus mempunyai Perdana Menteri dari Sabah demi kepentingan Sarawak juga,” katanya.

Kata Baru, ini akhirnya akan menjadi tanda inklusiviti sebenar yang mungkin tidak pernah dirasakan oleh orang-orang kita dan mungkin dapat membantu menenangkan kebencian orang Sabah dan Sarawak kerana kurangnya perhatian daripada Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, pertikaian lama yang timbul dari Perjanjian Malaysia 1963 juga lebih cenderung untuk diselesaikan apabila Shafie apabila mengetuai pemerintahan negara.

“Menjadi kepentingan semua pihak untuk menyelesaikan kemelut ini dengan segera. “Saya yakin rakyat Malaysia yang benar-benar mempercayai perpaduan nasional akan menerima orang Sabah sebagai Perdana Menteri dengan hati yang terbuka.

“Saya berharap pemimpin GPS memberi sokongan kepada Shafie untuk menjadi Perdana Menteri kerana ini menjadi bukti yang menunjukkan kepada rakyat bahawa kita adalah rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.