KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd sedia menamatkan perkhidmatan 300 lagi pekerjanya pada tarikh berakhir 31 Julai sebagai sebahagian daripada tindakan mengurangkan kos operasi.

Mac lepas Media Prima memberhentikan 543 kakitangan dari kumpulan New Straits Times Press.

Media Prima dalam kenyataan pada Isnin berkata, transformasi perniagaannya bertujuan menjadikan kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Inisiatif diambil melibatkan perubahan operasi di unit terpilih bagi mengatasi ketidakcekapan kos yang timbul daripada pertindihan kerja.

Transformasi perniagaan ini juga berkaitan perubahan dalam sektor media, situasi cabaran ekonomi makro serta kesan wabak Covid-19.

Dalam kenyataannya, Media Prima berkata syarikat dan wakil lima kesatuan sekerja mencapai persetujuan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan seperti diumumkan 4 Jun lalu.

Kenyataan turut menyebut bahawa semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil kepada kakitangan terjejas.

Menurut undang-undang serta perjanjian dan kontrak masing-masing.

Tahun lepas, Media Prima mencatat peningkatan pendapatan 5 peratus pada suku keempat berakhir 31 Disember 2019 kepada RM304.6 juta berbanding RM290.9 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.