RIYADH: Mahkamah Jenayah Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara setahun kepada seorang wanita setelah dia bersalah mencederakan guru anaknya selain menimbulkan kekecohan di sekolah tersebut.

Menurut laporan, insiden itu berlaku ketika para pelajar hendak pulang dari sekolah dan wanita tersebut meminta guru mengambil anaknya yang ketika itu berada di taman permainan.

Guru tersebut bagaimanapun enggan mengikut suruhannya dan mengatakan ia bukan tugasnya.

Wanita itu marah dan terus menampar guru tersebut. Apabila seorang lagi guru cuba menyelamatkan rakannya, dia juga ditampar beberapa kali.

Menurut peguam mahkamah, Abdul Aziz Al Mahayli, peguam wanita itu menawarkan wang SR100,000 (AS$26,600) sebagai pampasan ganti rugi namun tawaran itu ditolak kedua-dua guru tersebut.

Kes ini agak luar biasa kerana kedua-dua pihak menyaman satu sama lain.

Namun kes saman dari wanita itu digugurkan selepas beberapa saksi memberi keterangan mendakwa wanita terbabit memulakan kekecohan dengan menampar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada dua guru tersebut.

Hakim menjatuhkan hukuman setahun penjara kepada wanita berkenaan.

Dia juga berada dalam pemerhatian tiga tahun atas kesalahan menimbulkan kekecohan di sekolah dan menggunakan aplikasi “Snapchat” memberitahu pelayar tentang insiden itu.