KUCHING: Perdana Menteri dari Malaysia Timur ialah boneka Malaya.

Menurut Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan,  dengan 56 kerusi dari Malaysia Timur Sabah dan Sarawak, tetap tidak akan dapat mengawal  penguasaan dan tekanan Malaya terhadap Sabah dan Sarawak.

“PM dari Malaysia Timur tidak akan mampu  membawa pesawat berat di lautan bergelora. Ia sekadar satu jenaka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kita belum lagi selesaikan soal MA63 dan kelemahan yang melingkarinya perlu segera diselesaikan semaksimum mungkin,” katanya.

Katanya, cadangan supaya Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Perdana Menteri ialah keanak-anakan dan mereka yang bersetuju bukan sekadar menjual hati nurani mereka tetapi juga badut,” katanya.

Beberapa hari lalu, Mahathir mencadangkan agar Shafie dilantik jadi Perdana Menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai timbalan  ketika PKR berkeras mahu Anwar sebagai Perdana Menteri. 

Cadangan bekas Perdana Menteri itu menerima kritikan dan ujaran sinis netizen dan rakyat.

“Syarat perlu ditetapkan terlebih dahulu sebelum melompat ke dalam parit. Kita telah pada masa silam banyak melakukan kesilapan dengan mendapatkan orang tertentu di Malaya berada di puncak kuasa tanpa menyedari bahawa kita adalah  pertaruhan dalam permainan politik demi faedah mereka,” tegasnya.

Menurut Voon, antara syaratnya ialah Malaya membayar semua wang daripada penerokaan minyak dan gas di Sarawak.

“Semua hutang daripada minyak dan gas perlu  dilangsaikan dalam tempoh tertentu,” ujarnya.

Juga,  katanya, kembalikan semua cukai diambil  oleh Malaya dari Sabah dan Sarawak dalam tempoh tertentu.

“Sabah dan Sarawak perlu mempunyai dua per tiga daripada 222 kerusi Parlimen,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya Sabah dan Sarawak mempunyai sistem pendidikan sendiri.