KUALA LUMPUR: Dalam ketenangan dan keributan politik negara, PAS tetap akan konsisten menambah keahliannya.

Menurut Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, walaupun ada parti politik mendakwa bahawa parti mereka menerima 10,000 permohonan ahli baharu setiap bulan namun tidak pernah dibuktikan jumlah sebenar yang telah diterima.

“PAS tidak segan silu walaupun ada kalanya kelulusan ahli baharunya rendah tetapi ia tetap dilaporkan untuk makluman kepada umum,” katanya.

Bulan ini jelas beliau, 3,331 ahli baharu telah diluluskan, meningkat naik daripada bulan lalu. Usaha akan dipertingkatkan lagi bagi memastikan PAS akan terus mendapat tempat di hati rakyat, bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam termasuklah dalam kalangan masyarakat bukan Islam untuk menyertai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). 

“Pelantikan Senator Bala Subramaniam sebagai Ahli Dewan Negara diharapkan akan mencetuskan fenomena baharu kepada DHPP,” ujarnya.

“Sebagai langkah keseriusan parti, Presiden PAS dalam Mesyuarat PAS Pusat baru-baru ini telah mengarahkan supaya laporan pertambahan keahlian baharu ahli DHPP mestilah dilaporkan di dalam mesyuarat bulanan PAS Pusat,” katanya lagi.

Tahun lalu,  ujarnya, PAS berjaya mendaftarkan  45,344 orang ahli baharu dan ia adalah satu pencapaian yang sangat baik kepada PAS walaupun PAS masih lagi berstatus Pembangkang. 

“Dengan beradanya PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ianya mestilah memberikan kesan positif kepada perkembangan parti ketika ini,” katanya.

Khairul Faizi berkata, dalam tempoh lima tahun (2015-2019)  167,404 orang ahli baharu berjaya didaftarkan dengan negeri Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kedah terus mengungguli carta empat kedudukan tertinggi.