BINTULU: Tugas dan tanggungjawab utama pemimpin dan ahli parti politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, pihak terbabit tidak seharusnya menjadikan parti atau keahlian mereka sebagai platform untuk mengejar populariti.

Sebaliknya, mereka perlu berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan rendah diri dan bukan untuk kepentingan peribadi agar pengundi-pengundi muda tertarik dengan perjuangan parti.

Beliau turut berkata, ahli parti perlu berusaha meraih sokongan rakyat terutamanya menarik penyertaan golongan profesional dan intelek muda dalam PBB untuk bersama-sama berjuang untuk kepentingan masa depan bangsa, agama dan negara.

“Pintu PBB khususnya Jepak terbuka luas kepada mereka yang ikhlas mahu berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas penyerahan kad keahlian kepada ahli baharu parti itu melibatkan kawasan Setiam, Semanok, Jepak dan Serupai, kelmarin.

Talib juga menyarankan ahli Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB merekrut ahli baharu di cawangan masing-masing agar ia terus mantap dan relevan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Cawangan PBB Jepak Shamsuddin Abdul Razak berkata, setakat ini, mereka menerima kemasukan 539 ahli baharu termasuk penubuhan ranting baharu iaitu Ranting Kampung Warisan Jepak.

Pelancaran rasmi ranting tersebut, katanya, akan disempurnakan dalam masa terdekat sambil memberitahu setakat ini, PBB Jepak mempunyai 18 ranting keseluruhan.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada ahli baharu sekali gus berharap mereka dapat mendalami sejarah perjuangan asal PBB.