KUALA LUMPUR: Perbuatan mengubah suai logo rasmi negara  mirip Jata Negara yang menjadi kulit buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance And Hope in New Malaysia’ merupakan satu penghinaan serta  provokasi melampau kepada negara.

Menurut AJK Pusat PAS Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, ini kerana Jata Negara merupakan simbol negara yang merangkumi maksud Islam agama rasmi, kedaulatan Raja-raja Melayu, keterangkuman negeri-negeri di dalam Persekutuan serta sifat keberanian.

“Sekiranya terdapat unsur negatif yang bertujuan untuk menimbulkan ketegangan, maka pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan segera bagi mengelakkan sebarang bentuk tindak balas yang boleh memudaratkan negara. Itulah jalan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

“Meskipun negara mengamalkan amalan kebebasan bersuara, tetapi jangan sampai kebebasan itu disalahgunakan sehingga meranapkan kedaulatan negara dan merebahkan kesentosaan tanah air,” tegas beliau.

Kini  tular di media sosial pengguna berkongsi satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Tindakan pihak terbabit mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk netizen.