KELMARIN Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan cadangan beliau supaya Presiden Warisan, Shafie Apdal menjadi calon Perdana Menteri PH.

Mahathir kata DAP dan PAN sudah bersetuju dengan cadangan Shafie Apdal sebagai PM-9 ini.

Namun beberapa jam kemudian Presiden PAN, Mat Sabu, dan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa perkara di atas perlu dibincangkan di Majlis Presiden PH dahulu.

Ini kerana kebanyakan pemimpin PH tidak tahu menahu tentang hal ini dan mungkin tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Ini termasuklah Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena dan bekas Timbalan Menteri PH yang kata dia tidak tahupun tentang hal Shafie Apdal sebagai PM-9 ini.

(Saya ingin sarankan kepada Mahfuz supaya mengikuti perkembangan politik semasa dan tidak hanya pergi mandi sungai dan petik petai sahaja).

Dan PKR dan Anwar Ibrahim yang masih dalam PH tentunya tidak bersetuju dengan cadangan Mahathir ini.

Ini termasuklah kerana Shafie Apdal adalah presiden parti yang terkecil dalam PH Plus (selepas “parti” Mahathir) dengan hanya lapan orang Ahli Parlimen.

Kedudukan Shafie dan Warisan pula adalah goyah dan semakin lemah di Sabah dengan beribu-ribu ahli Warisan telah keluar parti dan ramai wakil-wakil rakyat mereka semakin hilang keyakinan dengan kepimpinan Shafie.

Adakah ini akan menjadi tradisi PH di mana parti paling kecil dan terlemah akan memegang tampuk pemerintahan dan menjadi Perdana Menteri?

Dan kuasa akan berada di tangan puak-puak kumpulan yang kecil ke arah politik oligarki atau plutokrasi?

Hakikatnya, Mahathir mengemukakan cadangan ini kerana dua sebab:

PERTAMA, Mahathir tidak yakin bahawa dia dan PH boleh mengambil alih kerajaan atau menang Pilihan Raya Umum ke-15 dengan dia sebagai calon Perdana Menteri.

Dia pastinya sedar bahawa separuh daripada PH dan rata-rata rakyat Malaysia telah menolaknya dan dia telah menjadi ahli politik yang paling dibenci di Malaysia kini.

Laman Facebooknya ditimbuni dengan komen-komen negatif sehingga dia atau pegawai-pegawainya terpaksa memadam beribu-ribu komen negatif terhadapnya dan membiarkan hanya beberapa kerat komen positif sahaja.

Mahathir sendiri telah berkata yang dia perlu cari jalan lain untuk jadi Perdana Menteri setelah Anwar tidak bersetuju dengan cadangannya sebelum ini untuk menjadi PM-9 selama 6 bulan.

Oleh itu satu jalan penyelesaian baginya untuk masih berkuasa ialah dia perlu memerintah secara proksi iaitu dengan menggunakan Shafie Apdal sebagai boneka.

Dengan ini Mahathir masih akan jadi de-fakto Perdana Menteri dan berkuasa walaupun tidak memegang jawatan tersebut secara rasmi.

Dan kedudukan politik Shafie yang lemah berserta rekod kes rasuah melibatkan berbilion ringgit yang boleh dibuka semula menjadikannya calon yang paling sesuai untuk dieksploit oleh Mahathir sebagai boneka.

Mahathir telah menjatuhkan empat Perdana Menteri sebelum ini, Shafie Apdal tentunya lebih mudah untuk dikawal dan dijatuhkan olehnya jika tidak mendengar kata.

KEDUA, Mahathir tetap mahu anaknya Mukhriz menjadi Perdana Menteri, untuk ini dia (Mahathir) perlu mengangkat seorang Perdana Menteri yang akan memberi laluan kepada anaknya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, walaupun anaknya terbukti lemah dan tidak layak dan berkali-kali kalah dalam pemilihan parti sebelum ini dan ditendang dari jawatan Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali.

Shafie Apdal tentunya bersetuju dengan perjanjian untuk melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri asalkan dia (Shafie) boleh jadi Perdana Menteri dahulu.

……..

Jika kita ikut kehendak Mahathir maka Shafie Apdal yang terpalit dengan skandal rasuah berbilion-bilion ringgit dan Mukhriz yang lemah dan lesu akan memerintah negara ini di bawah telunjuk kleptokrat terbesar negara, Mahathir.

Dan mereka akan sama-sama menjunjung DAP sebagai rakan kongsi utama mereka yang akan mencorakkan dasar negara dan cara hidup rakyat.

Allah selamatkan Malaysia dari musibah ini.

Isham Jalil, Ketua Penerangan BN Selangor.